A. Kesalahan memilih tajuk
- Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.
B. Kekurangan isi
- Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.
C. Pembahagian perenggan
- Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan!
D. Tidak merangka karangan
- Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
- Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).
E. Kesalahan tatabahasa
- Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.
- Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.
F. Kesuntukan masa
- Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.
- Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.
G. Kesalahan lain
- Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.
- Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
- Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan / bahasa Utara / bahasa Jawa / bahasa Bugis / bahasa SMS )