PENULISAN KARANGAN FAKTA

CIKGU AIDA


Believe in yourself, give your best to everything and know that your one failure is not final

NAMA           : NOR AIDA BINTI AHAD
NO MATRIK : D20171077688
KUMPULAN : B
PROGRAM : ISMP BAHASA MELAYU (AT05)
PENSYARAH :PROFESOR MADYA DR ADENAN BIN AYOB
PENSYARAH DAN PENYELIA KURSUS BMP3093 (APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU)
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
MAKLUMAT saya image
Kaedah penulisan isi image
1. Mengetahui kehendak soalan
Setelah memlih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, idea keseluruhan atau tema. Dalam erti kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci iaitu kehendak sesuatu tajuk.

TEKNIK MEMBINA PERENGGAN 

Setiap karangan harus mempunyai perenggan -perenggan tertentu. Perenggan pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Perenggan isi pula jumlah perenggannya bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi yang dia

(a) Perenggan pendahuluan

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, akan tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya atau memperkenalkan tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik untuk membaca perenggan seterusnya.

Teknik menulis pendahuluan


1) Satu perenggan sahaja
2) Menyatakan tajuk secara umum
3) Empat atau lima ayat sahaja
4) Huraian tajuk dengan isu yang relevan dengan keadaan semasa
5) Jangan masukkan isi penting
6) Menyatakan kehendak soalan

Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Satu ayat pengenalan dikira sudah

Perenggan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya.
Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Lihat contoh pendahuluan di bawah:

  • (1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air".

Perenggan Isi

Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.

Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:

  • (1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Perenggan Penutup

Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.

Menyatakan semula

Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. Contohnya:

  • (1) Sebenarnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk membanteras pencemaran air. (2) Namun usaha tersebut tidak banyak membantu kerana sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan persekitaran. (3) Projek pembangunan yang rancak dijalankan di sana-sini tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar pula menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang teruk yang mampu menjejaskan kualiti air di sungai atau tasik, dan keadaan tersebut lebih teruk apabila kebanyakan ahli masyarakat yang tidak suka mematuhi peraturan yang digubal oleh pihak berkuasa.
Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama.

Membuat ramalan

Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.

  • Sikap sedemikian jika dibiarkan berterusan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Pelbagai jenis penyakit bawaan air yang sukar dikawal akan merebak dengan cepat, dan menjejaskan kesihatan penduduk. Selain itu, hal ini akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi, bukan sahaja untuk mengubati pelbagai penyakit tersebut, tetapi juga untuk memulihkan sungai, tasik atau laut yang tercemar.
Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir.

Memberikan syor

Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:

  • Jelaslah bahawa sikap masyarakat menyebabkan pencemaran air berleluasa di mana-mana sahaja. Untuk mengatasinya, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan perlu dipupuk. Kempen, ceramah dan pertandingan perlu dijalankan dari semasa ke semasa sehingga masyarakat dapat mendisiplinkan diri dalam aspek kebersihan. Selain itu, peraturan yang sesuai perlu digubal, ditambah atau diubah suai. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang tegas wajib dilaksanakan untuk memastikan segala program mencapai matlamatnya.

Unsur-unsur Lain yang Penting

Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan.

1) Mematuhi jenis karangan dan format
Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan.

2) Bahasa yang berkesan

Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Manakala perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan.

3) Ejaan dan tanda baca

Didapati kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah
sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Tetapi markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Banyak pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Didapati tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali.

Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita menguasai tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan.





1.   Merangka karangan
  • Baca soalan dengan jelas sebelum merangka karangan.
  • Pilih tajuk yang kita ada paling banyak maklumat atau yang kita pernah buat persediaan.
 
Ketika merangka karangan carilah fakta dan isi yang terbaik,

  • Keluarkan pengalaman dan pembacaan yang lalu.
  • Ada intro, isi dan penutup.
Jangan menghabiskan masa terlalu lama dalam merangka karangan. Yang diperiksa ialah karangan itu, bukan rangkanya.

2.   Karangan berbentuk fakta
 
  • Cari contoh yang terbaik berkaitan dengan fakta yang diberikan.
  • Contoh global atau universal lebih diutamakan.
  • Gunakan peribahasa, pantun atau kata-kata hikmah orang ternama untuk membuat karangan lebih menarik
  • Beri huraian yang lengkap dan padat
  • Tidak berulang-ulang dalam mengemukakan isi
  • Perbahasan dan hujah hendaklah matang
  • Isi terkini.

 3.  Karangan berbentuk cerita

  • Jalan cerita hendaklah menarik.
  • Ada watak yang menarik
  • Ada perkembangan watak.
  • Ada klimaks.
  • Jangan membosankan.
  • Bayangkan diri anda terlibat di dalam situasi cerita tersebut.
  •  Ada pengajaran yang bermanfaat dari cerita tersebut.
  • Berhati-hati dengan tanda bacaan

Kaedah umum menguasai Bahasa Melayu

  • Mendalami tatabahasa.
  • Guna ayat yang pendek, ringkas dan jelas.
  • Mengetahui cara membuat ayat yang menarik.
  • Menambah pengetahuan dengan banyak keretan akhbar dan membaca.
  • Mengumpul semua rencana yang berfaedah dan berkaitan.
  • Tiru rencana yang baik dengan menulis semula menggunakan stail dan bahasa sendiri.
  • Libatkan diri di dalam aktiviti forum, bahas dan pidato.
  • Tawar diri untuk menjadi pengerusi majlis dalam setiap program sama ada yang kecil mahupun yang besar


Kaedah Pengolahan karangan image
Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah

  Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.

  Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.

  Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.

  Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

  Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.

  Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.

  Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.
CONTOH KARANGAN FAKTA image
Penutup image
Secara keseluruhannya, kaedah penulisan karangan fakta memberikan banyak info dan panduan untuk menulis karangan dengan lebih baik. Saya berharap semua info yang saya kongsikan dalam blog ini dapat dimanfaatkan sebaik  mungkin. Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah dan penyelaras kursus Aplikasi Komputer dalam Pengajaran Bahasa Melayu (BMP3093), Profesor Madya Dr Adenan Bin Ayob atas tunjuk ajar dan bimbingan sebelum dan selepas menyiapkan blog ini dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyiapkan tugasan blog ini.
Mohd Khir Kasim. (2013). Cara Menulis Pendahuluan Karangan.Diambil daripada https://www.slideshare.net/smktsj2/cara-menulis-pendahuluan-karangan-dengan-menggunakan-teknik-faclk

Sistem Guru Online.(2019).Teknik Menulis Karangan. Diambil daripada https://www.sistemguruonline.my/2017/04/karangan.html

Wan Arizwan.(2016). Teknik dan Prosedur Menulis Karangan.Diambil daripada https://www.slideshare.net/wanarizwan/bab-6-teknik-dan-prosedur-menulis-karangan




I BUILT MY SITE FOR FREE USING